Apa itu Prostat?
Prostat adalah satu kelenjar yang menjadi sebahagian kepada sistem reproduktif lelaki. Kedudukannya di bawah pundi kencing, di pangkal zakar dan di hadapan rektum.
Prostat mengeluarkan sebahagian cecair dalam air mani lelaki.
Prostat mempunyai lubang sempit ditengahnya. Tiub (urethra) yang mengeluarkan air kencing dari pundi kencing melalui lubang ini hingga ke hujung zakar.
Tanda dan Simptom
Masalah prostat adalah biasa bagi lelaki apabila umur mereka meningkat (50 tahun ke atas).
Anda mungkin mengalami masalah semasa kencing. Anda mungkin mengalami beberapa atau semua perubahan yang berikut:
Anda mungkin mengalami masalah semasa kencing. Anda mungkin mengalami beberapa atau semua perubahan yang berikut:
- Sukar untuk mengeluarkan air kencing terutamanya dalam keadaan terkejar-kejar.
- Sukar untuk menghentikan aliran air kencing.
- Mengambil masa kerana aliran air kencing lemah atau sering terhenti.
- Air kencing masih menitis walaupun sudah selesai membuangnya.
- Sering berasa hendak kencing diwaktu siang .
- Sering bangun malam untuk kencing.
- Sentiasa dalam keadaan tergesa-gesa apabila hendak kencing.
- Berasa tidak puas kencing.
- Sakit atau pedih semasa kencing.
- Kadang-kadang ada darah didalam air kencing. Keadaan ini memerlukan pemeriksaan doktor.
Kebanyakkan kes yang berlaku adalah kerana prostat menjadi bengkak. Prostat yang bengkak ini menekan urethra. Masalah ini dikenali sebagai benign prostatic hyperplasia (BPH) dan ia disebabkan oleh perubahan hormon di dalam prostat. Masalah ini dialami oleh hampir separuh daripada lelaki yang berumur 50 tahun ke atas dan ia tidak menyebabkan kanser.
Ada kalanya prostat menjadi bengkak disebabkan oleh jangkitan yang dikenali sebagai prostatitis yang mempunyai simptom yang sama dengan BPH. Masalah ini selalunya dialami oleh lelaki yang lebih muda.
Kurang daripada seorang dalam sepuluh lelaki yang mempunyai masalah prostat akan mendapat kanser prostat.
Perlu diingat- kebanyakan masalah prostat bukanlah kanser, dan kebanyakannya boleh dirawat.
Jika anda mengalami masalah seperti diatas, berjumpalah dengan doktor. Jangan hanya menganggap masalah ini sebagai masalah yang berlaku kerana umur anda meningkat. Hanya rawatan yang sesuai dapat menyelamatkan anda.